[Video] Aliff Aziz Ditahan Polis Dalam Keadaan Mabuk
Penyanyi dan pelakon Aliff Aziz ditahan polis di Singapura kerana didakwa mengganggu ketenteraman di tempat awam dalam keadaan mabuk.
Menerusi laporan portal Berita Mediacorp, Pasukan Polis Singapura (SPF) mengesahkan penangkapan terbabit selepas penyanyi itu didapati bergaduh dengan seorang lelaki kira-kira jam 6.40 pagi semalam di kawasan Orchard Road.
Walaupun diarahkan supaya bertenang dan meleraikan pergaduhan itu, Aliff yang nafasnya berbau arak, enggan memberikan kerjasama dan terus mencetuskan kekecohan.
Aliff kemudian ditangkap di bawah Seksyen 14(2)(b) Akta Kawalan Arak.
Menurut polis lagi, Aliff juga bergelut dengan pegawai bertugas ketika mereka cuba menggari tangannya. Bagaimanapun siasatan polis masih dijalankan.
Video viral di media sosial
Petang semalam, dua video yang menunjukkan Aliff bergelut dengan pegawai polis di kawasan Orchard Road tular di media sosial.
Menerusi video terbabit, Aliff dikatakan cuba menghubungi bapanya bagi mendapatkan bantuan.
Aliff menjerit-jerit memberitahu bapanya menerusi telefon bahawa ada orang sedang memukulnya.
Kemudian, dua kereta polis tiba di lokasi kejadian dan tiga lagi pegawai polis bergegas membantu dua pegawai di tempat kejadian yang masih cuba menggari Aliff.
Sumber: Harian Metro, Berita Mediacorp