Viral Gambar Bangkai Penyu di Facebook Bukan di Terengganu
Foto penemuan bangkai seekor penyu yang tular di media sosial baru-baru ini bukan berlaku di Terengganu, kata Ketua Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang, Mohammad Firdaus Abdillah.
Beliau berkata kali terakhir bangkai penyu ditemui terdampar di Terengganu ialah pada 20 Oktober lepas iaitu di Teluk Lipat, Dungun.
Sebenarnya, saya sudah terima gambar bangkai penyu itu Khamis lepas dan hasil siasatan mendapati ia bukanlah kes di Terengganu.
Sehubungan itu, saya berharap orang ramai tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat yang tidak sahih di media sosial kerana ia hanya mengelirukan masyarakat tambahan pula penyu adalah haiwan yang diancam kepupusan dan kes sebegini memang menjadi perhatian ramai walaupun ia tidak benar.
Posting menimbulkan pelbagai reaksi dari netizen
Tiga keping gambar bangkai penyu telah dimuat naik oleh seorang individu di laman Facebook ‘Gabungan Anak Terengganu (Original)’.
Posting itu yang mendakwa penyu itu mati akibat diseksa dengan kejam di Terengganu, sekaligus menimbulkan pelbagai reaksi dari netizen, di mana ramai yang marah kepada pelakunya yang kejam serta ada yang bersimpati dengan nasib penyu itu.
Mohammad Firdaus berkata sejak 1 Januari hingga Oktober lepas, 70 kematian penyu direkodkan berlaku di Terengganu atas pelbagai sebab seperti cedera dan terperangkap di jaring pukat.
Saya berharap orang ramai yang menemui bangkai penyu atau penyu yang mengalami kecederaan di Terengganu agar menghubungi kami di talian 09-8444169 untuk membolehkan kumpulan penyelamat mengambil tindakan segera.
Sumber: Bernama