Suami Isteri Hukum Penjara Sebab Curi Pasir Pantai
Sepasang suami isteri warga Perancis dihukum penjara maksimum enam tahun oleh Mahkamah Itali atas kesalahan menyeludup 40 kilogram pasir di pantai Sardinia, Rome baru-baru ini.
Pasangan itu ditahan selepas melakukan perbuatan menyalahi undang-undang iaitu menyeludup pasir berkenaan dengan menggunakan 14 botol di kepulauan Mediterranean.
Ketika ditahan, tertuduh dikatakan ‘mengangkut’ pasir-pasir itu di belakang kenderaan utiliti sukan (SUV) untuk pulang ke Toulon, Perancis menaiki feri.
Ingin jadikan sebagai cenderamata
Semasa perbicaraan, pasangan itu memberitahu, mereka tidak mengetahui mengenai kewujudan undang-undang yang menghalang orang ramai daripada membawa pulang pasir dari kepulauan itu.
Tertuduh yang tiba ke kepulauan itu untuk bercuti memaklumkan, mereka tidak mempunyai niat di sebalik membawa pulang pasir berkenaan selain menjadikannya sebagai cenderamata.
Kerajaan Itali memperkenalkan undang-undang penyeludupan pasir itu pada 2017.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam tahun atau denda sehingga 2,750 pound (RM14,000).
Dalam pada itu, seorang pegawai kastam lapangan terbang menjelaskan, pada musim panas yang lalu, pihaknya merampas puluhan tan pasir dan kemudian ‘dipulangkan’ kembali ke pantai berkenaan.
Mengambil walau sebotol pasir sekalipun akan memberi kesan kepada alam sekitar. Simpan kenangan dalam minda anda. Tinggalkan pasir di sini kerana bukan milik sesiapa untuk dibawa bersama-sama.
Ambil pasir dari pantai Sardinia adalah jenayah
Pulau ini telah berjuang selama bertahun-tahun untuk menghentikan pelancong daripada mengambil pasir, kerang dan kerikil sebagai cenderahati atau hiasan dalaman akuarium.
Dalam usaha untuk menghentikan kegiatan itu, sesetengah penduduk tempatan telah mengambil peranan melindungi pantai mereka.
Jika mereka melihat pelancong mengambil pasir atau cengkerang, mereka akan meminta pelancong itu memulangkan semula apa yang telah diambil. Sekiranya tidak berjaya, mereka akan memanggil polis atau rangers taman negara.
WWF turut menjalankan kempen menentang ‘pencuri pantai’, mengingatkan pelancong yang mengambil pasir dari pantai Sardinia adalah satu jenayah.
Sumber: Utusan Online, The Telegraph