Rakyat AS Panik, Beratur Untuk Beli Pistol
Jumlah jangkitan koronavirus (Covid-19) yang semakin meningkat di Amerika Syarikat (AS) telah menyebabkan pembelian panik yang luar biasa.
Pengguna tidak hanya berpusu-pusu mahu mendapatkan bekalan tisu tandas dan cecair pembasmi kuman, malah permintaan ke atas senjata api juga dilaporkan turut meningkat.
Sanggup beratur hingga lima jam
Pada petang Isnin, dua penjual senjata di Burbank’s Magnolia Boulevard – Burbank Ammo & Guns dan Gun World didatangi sekurang-kurangnya sedozen atau lebih orang menunggu di luar sama ada mahu membeli senjata mahupun peluru.
Los Angeles Times melaporkan ada pembeli yang sanggup beratur lama sehingga lima jam semata-mata untuk mendapatkan senjata api. Malah ada juga sebahagiannya merupakan kali pertama.
Seorang pembeli yang dikenali sebagai Ray berkata, dia membeli pistol sebagai perlindungan.
Saya mahu membeli pistol. Saya rasa ia digelar Glock, saya juga tidak pasti. Saya mempunyai rumah dan keluarga. Mereka perlukan perlindungan jika keadaan menjadi semakin buruk apabila kehabisan bekalan makanan.
Orang ramai mula takut dengan impak pandemik
Seorang lagi pembeli memberitahu orang ramai mula bergegas mendapatkan senjata api kerana kebanyakannya mula takut dengan impak pandemik tersebut selepas lebih 3,000 kes jangkitan dan 61 kematian dilaporkan di AS.
Difahamkan, pembelian panik kini melanda kebanyakan bandar di AS berikutan pentadbiran Presiden Donald Trump gagal memberikan arahan jelas tentang ancaman virus itu.
Akhir minggu lalu, Trump mengisytiharkan darurat yang turut melarang penerbangan dari United Kingdom (UK) dan Ireland.
Sumber: Sinar Harian, Los Angeles Times