Nampak Macam Ular, Situasi Cemas Bertukar Lucu
Panggilan kecemasan mengenai ancaman ular berbisa, menyebabkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh di Kota Bharu, bergegas ke Kampung Chica, Kubang Kerian, baru-baru ini.
Namun, situasi cemas itu bertukar lucu sejurus mereka tiba di lokasi apabila mendapati ‘ular’ itu hanyalah plastik huruf berbentuk S.
Ular melengkar pada langsir kediaman
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, El Taraf Mohamad, berkata pihaknya dimaklumkan keluarga itu ketakutan apabila melihat ‘seekor’ ular melengkar pada langsir kediaman mereka yang disedari ahli keluarga.
Beliau berkata, seramai tiga anggota bergegas ke lokasi dan sebaik tiba anggotanya sudah terlihat kelibat ‘ular’ berkenaan.
Anggota saya perasan itu bukan ular, sebaliknya plastik huruf berbentuk S yang berwarna hitam.
Anggota saya bertanyakan di mana ular itu, dan mereka menunjukkan ke arah plastik huruf itu, kemudian anggota saya ‘menangkap’ ular itu dan mereka ketawa.
Keluarga ketawa dan mohon maaf kepada anggota bomba
Beliau berkata, keluarga berkenaan hanya mampu ketawa dan memohon maaf kepada anggota bomba kerana terlalu panik dan terus menelefon bomba selepas menyangka plastik itu adalah haiwan berbisa.
Katanya, bagaimanapun anggotanya menerangkan kepada penghuni rumah berkenaan yang sudah menjadi tanggungjawab mereka melaksanakan tugas menyelamat, sebaik menerima panggilan kecemasan.
Anggota memberitahu adalah lebih baik mereka beringat dengan terus menelefon bomba jika terlihat kelibat haiwan berbisa seperti ular bagi menjaga keselamatan keluarga.
Katanya, sejak bertugas di balai berkenaan, itu kejadian pertama kali yang melucukan membabitkan panggilan tentang menangkap ular.
Sumber: BH Online