Apa Salahnya Kasut Saya Buatan Gombak? – Pelantun Dialog, Ashraf Sinclair Meninggal Dunia
Pelakon Malaysia yang mencipta nama di Indonesia, Ashraf Sinclair, 40, meninggal dunia pagi tadi akibat serangan jantung di Jakarta, Indonesia.
Berita pemergian suami kepada pelakon dan penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari atau BCL disahkan Doddy yang juga pengurus BCL menerusi aplikasi WhatsApp kepada pemberita.
Betul (meninggal dunia). Serangan jantung. Pagi tadi.
Instagram dibanjiri ucapan takziah
Susulan berita menyayat hati itu, Instagram peribadi milik Ashraf dan isterinya Bunga Citra Lestari dibanjiri ucapan takziah.
Pelakon itu disahkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.51 pagi hari ini di Hospital MMC, Jakarta, Indonesia.
Mula cipta nama selepas iklan ‘Kasut Gombak’
Ashraf yang lahir di London dan dibesarkan di Malaysia mencipta nama dengan pembabitan awalnya sebagai model dalam iklan ‘Kasut Gombak’ pada tahun 1998 sempena Hari Kemerdekaan bagi mengangkat barangan buatan Malaysia. Iklan itu telah menjadi bualan ramai pada tahun itu.
Ashraf berkahwin dengan Bunga Citra Lestari pada 8 November 2008 di Masjid Al Bina Senayan, Jakarta. Beliau meninggalkan seorang balu dan seorang anak lelaki yang baru berusia 10 tahun, Noah Aidan Sinclair.
Jenazah dikebumikan di San Diego Hills
Jenazah Ashraf Sinclair akan dikebumikan di San Diego Hills, Karawang, Jawa Barat, Indonesia selepas solat Asar, hari ini.
Maklumat itu dipaparkan menerusi papan kenyataan di depan rumah duka yang menempatkan jenazah Ashraf di kawasan Pejaten Barat, Jakarta Selatan.
Rumah duka adalah rumah yang menempatkan jenazah sebelum dikebumikan.
Sumber: Harian Metro, Kompas.com