Kajian China, Individu Darah A Lebih Berisiko Dijangkiti Coronavirus
Kajian awal dari China mendapati individu mempunyai darah A dipercayai lebih mudah terdedah kepada COVID-19, berbanding mereka yang berdarah O.
Hasil kajian mendapati, sebahagian besar pesakit dari Wuhan dan Shenzhen, China yang dijangkiti dan meninggal dunia adalah dari kumpulan pesakit darah A.
Hanya sebilangan kecil daripada pesakit berdarah O yang dijangkiti meninggal dunia akibat serangan virus itu.
Pesakit dalam kumpulan darah A dinasihatkan untuk meningkatkan daya tahan tubuh bagi mengurangkan risiko dijangkiti.
Pasukan penyelidik dari pusat perubatan berpangkalan di Wuhan, China yang diketuai Wang Xinghuan, bagaimanapun berkata, kajian itu masih terlalu awal dan lebih banyak kajian perlu dilakukan bagi membuktikan kesahihannya.
Kumpulan darah A tidak perlu panik
Kajian yang diterbitkan di Medrxiv.org itu membandingkan lebih 2,173 jenis darah yang disahkan mempunyai kes positif COVID-19, di Wuhan dan Shenzhen dengan 3,694 penduduk yang bebas daripada virus itu di sekitar Wuhan.
Hasil kajian itu juga mendapati 206 pesakit meninggal akibat virus itu, selain 85 pesakit atau 41.26 peratus adalah daripada kumpulan darah A dan 52 kematian daripada individu berdarah O.
Bagaimanapun, saintis yang tidak terbabit dalam kajian itu memberitahu South China Morning Post bahawa lebih banyak sampel darah perlu diambil bagi membantu pakar perubatan.
Menurut Gao Yingdai, penyelidik yang berasal dari Tianjin, individu berdarah A tidak perlu panik.
Sekiranya anda dari kumpulan darah A, tidak perlu panik. Ia tidak bermaksud anda akan dijangkiti 100 peratus.
Ia tidak bermakna individu berdarah O juga selamat, anda masih perlu mencuci tangan dan mengikuti garis panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa.