Selamat Pengantin Baru Noor Nabila Dan Engku Emran
Noor Nabila yang juga kakak kepada selebriti popular Neelofa selamat melangsungkan pernikahan dengan ahli perniagaan, Engku Emran Zainal Abidin dengan sekali lafaz pada hari ini.
Pasangan itu sah bergelar suami isteri dalam sebuah majlis pernikahan di Masjid At Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada jam 10.02 pagi.
Pasangan tersebut dinikahkan adik lelaki pengantin perempuan, Mohamed Aqief yang berwakil walikan bapa kandung mereka.
Nabila menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin.
Nabila dan Emran sedondon dalam persalinan warna putih. Hadir sama pada majlis itu adalah ahli keluarga Neelofa.
Mampu bimbing dan jaga diri
Walaupun tidak pernah mengesahkan mengenai hubungannya dengan Engku Emran yang diperkatakan ramai sejak awal bulan ini, namun bayangan Nabila sedang menjalin hubungan cinta dengan ahli perniagaan itu cukup kuat.
Sejak awal bulan ini, gosip mereka hangat diperkatakan dalam laman sembang, malah mendapat liputan meluas media di Indonesia.
Nabila berkata, dia percaya Engku Emran mampu membimbing dan menjaga dirinya selepas masing-masing pernah melalui pengalaman berumah tangga sebelum ini.
Kami pernah melalui pengalaman berumah tangga sebelum ini. Jadi, masing-masing sudah matang dan sudah tahu apa yang diinginkan dalam membina mahligai ini. Insya-Allah kami akan buat yang terbaik dan sentiasa ada untuk satu sama lain.
Sumber: Harian Metro