Nassier Wahab Meninggal Dunia Selepas Muntah Darah
Sebutir mutiara permata seni negara telah meninggalkan kita semua.
Penyanyi Dato’ Nassier Wahab, 57, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, pada jam 12.45 tengah malam tadi.
Pembantu peribadinya, Ariff Salim memberitahu, Allahyarham pergi dalam keadaan mengejut selepas muntah darah kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.
Seperti semua sedia maklum, arwah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri, Julai lalu. Selepas itu, arwah melakukan rawatan lanjutan seperti radioterapi dan kimoterapi.
Doktor meminta arwah menjalani rawatan menambah darah semalam (kelmarin) kerana beliau tampak terlalu pucat. Jika diikutkan, tiada apa-apa rawatan pada hari ini (semalam). Ketika sedang berehat tadi (malam tadi), arwah meminta saya mengurut tangan dan belakang badan, tetapi tiba-tiba, dia muntah darah yang banyak.
Saya dan isteri arwah yang berada di sisinya terus meminta bantuan doktor. Tiba-tiba sahaja semuanya berlaku. Pada jam 12.45 tengah malam, doktor mengesahkan abang Nassier sudah tiada.
Ketumbuhan dikesan selepas cabut gigi
Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Fatimah Abd Rauf, 56, dan seorang anak, Intan Najihah.
Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kediamannya di Bandar Bukit Raja, Selangor, pagi ini untuk urusan pengebumian.
Nassier yang memulakan karier sejak era 1980-an, berasal dari Pulau Pinang dan aktif menyanyi serta berlakon.
Menurut Ariff, ketumbuhan itu mula dikesan selepas Nassier menjalani prosedur mencabut gigi, beberapa tahun lalu.
Sejak itu, Nassier dilaporkan kerap sakit gusi dan bergantung kepada ubat tahan sakit. Namun, apabila kesakitan itu berulang, penyanyi itu membuat pemeriksaan rapi dan doktor mendapati ada ketumbuhan kecil pada bahagian berkenaan.
Jenazah Allahyarham akan dimandikan di Masjid Batu Belah, Klang pada kira-kira jam 8.30 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Belah Klang pada kira-kira jam 9.30 pagi ini.
Sumber: BH Online