Emma Maembong Nikahi Juruterbang
Pelakon Emma Maembong, 27, akhirnya sah menjadi suri kepada juruterbang, Muhammad Shazli Azhar, 32, pada jam 11.58 pagi tadi.
Menerusi majlis tertutup di sebuah premis acara di Bukit Damansara, pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohammad Akmal Abdul Aziz berwalikan bapa pengantin perempuan, Ismail Embong dan sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz, lapor Berita Harian Online.
Pasangan itu disatukan di hadapan 300 tetamu termasuklah adik-beradik dan rakan artis lain.
Belum merancang destinasi bulan madu
Pada majlis akad nikah tersebut, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM2,000 dan senaskhah al-Quran, selain tujuh dulang hantaran berbalas lima dulang.
Pasangan ini belum merancang destinasi berbulan madu dan tidak menolak rezeki jika dikurniakan anak secepat mungkin.
Pada 6 Mac depan, majlis berinai akan dianjurkan. Sehari selepas itu, pasangan ini akan diraikan pada majlis resepsi di Putrajaya.
Sumber: Sinar Harian, Facebook Rizal Hakimm