Tular Wanita Mengamuk Kereta Ditarik, Pegawai MBSA Buat Laporan
Polis menerima laporan daripada pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berhubung tindakan seorang wanita yang mengamuk dan bertindak agresif ketika kereta miliknya ditarik penguat kuasa dalam kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20 semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, kejadian kira-kira jam 12.12 tengah hari itu berlaku ketika anggota penguat kuasa MBSA dari unit tunda membuat tindakan kompaun dan penundaan sebuah kenderaan jenis Nissan Almera kerana diletakkan di sisi jalan.
Wanita mengugut akan bersikap lebih agresif
Semasa proses penundaan dilakukan, pemilik kereta terbabit telah datang ke arah anggota penguat kuasa terbabit lalu bertindak agresif dengan memaki hamun, menolak dan meludah.
Orang awam yang cuba menenteramkan wanita tersebut juga diludah dan dikasari.
Wanita terbabit juga mengugut akan bersikap lebih agresif sekiranya anggota terbabit tidak melepaskan kenderaannya. Bimbang perkara tidak diingini berlaku, kenderaan itu telah dilepaskan.
Siasatan sedang dijalankan dan wanita terbabit sudah dikenal pasti untuk tangkapan.
Mengalami depresi teruk
Semalam, video kejadian terbabit tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen.
Seorang pengguna Facebook tampil kongsi kisah sedih disebalik wanita ‘mengamuk’ itu. Menurutnya dia mengalami depresi teruk selepas kehilangan anak dan ditinggalkan suaminya sendiri.
Tekanan perasaan kerana kehilangan anak
Di ruangan komen, seorang lagi lelaki yang menggunakan nama Firdaus Omar turut mengatakan perkara yang sama di mana wanita itu mengalami tekanan perasaan akibat kehilangan anak keduanya yang meninggal dunia selepas dilahirkan.
Firdaus turut mendakwa bahawa wanita itu diceraikan suaminya selepas lelaki berkenaan bertindak untuk berkahwin lain dan membawa anak tinggal bersamanya.
Sumber: Sinar Harian, Facebook Francis Ngu Hown Hua