Tikam Sampai Mati, Pembunuh Kanibal Makan Otak Bekas Kekasih
Seorang lelaki membunuh bekas kekasihnya sebelum memakan otak dan hati mangsa, tidak akan dibebaskan dari penjara setelah disabitkan bersalah atas pembunuhan kejam tersebut.
Joseph Oberhansley, 39 tahun, menikam bekas kekasihnya Tammy Jo Banton lebih dari 25 kali dan dia melakukannya di rumah mangsa di Jefferson, Indiana.
Pernah dipenjarakan 12 tahun kerana membunuh
Pembunuh tersebut, yang sebelum ini pernah dipenjarakan selama 12 tahun kerana membunuh kekasih terdahulu dan menembak ibunya sendiri, pada mulanya memberitahu polis bahawa dia telah memakan sebahagian tubuh Tammy kerana dia “sudah mati”.
Dia didakwa atas pembunuhan, pemerkosaan dan penyalahgunaan mayat setelah pembunuhan yang berlaku pada September 2014 itu digambarkan oleh pendakwa raya sebagai “lebih teruk daripada filem seram”.
Pada minggu ini, dia diberitahu bahawa dia tidak akan dibebaskan setelah disabitkan dengan pembunuhan dan pencurian, tetapi didapati tidak bersalah kerana merogol.
Polis terkejut mendapati mayat mangsa di dalam tab mandi dengan organ-organ utama hilang setelah rakan sekerja bimbang dan melaporkan mangsa tidak hadir untuk bekerja.
Pada hari kejadian, mangsa sempat memberitahu rakannya di mana bekas kekasihnya telah berusaha untuk masuk ke rumahnya.
Tengkorak atas piring makan
Menurut detektif di tempat kejadian, tengkorak Tammy ditemui di atas piring makan dengan berlumuran darah dan sepasang penyepit.
Suspek mendakwa dia tidak bertanggungjawab, sebaliknya mengatakan terdapat dua lelaki yang tidak dikenali telah menyerang bekas kekasihnya.
Pendakwa raya, Jeremy Mull berkata mangsa menderita terlalu banyak pada malam tersebut.
Dia ketakutan, dia ditikam, dia putus asa, dia dimakan dan dia diperkosa.
Hakim telah memutuskan bahawa Joseph tidak akan pernah dibenarkan untuk memohon pembebasan bersyarat.
Sumber: Mirror