Inikah Punca Pertunangan Syafie Naswip dan Aishah Azman Putus?
Dicekik dan ditumbuk, kononnya antara yang menjadi punca pertunangan pelakon Syafie Naswip dan Aishah Azman putus sehingga membawa kepada penahanan aktor itu untuk siasatan polis pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian pada 26 Jun lalu, Aishah, 23, dalam laporannya mendakwa Syafie datang ke rumahnya di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Serdang kira-kira pukul 9 pagi dan berlaku pertengkaran dalam kereta aktor itu.
Syafie didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Aisyah sebelum bertindak kasar termasuklah mencekik leher dan menumbuk mukanya.
Ia dikatakan berpunca apabila Aishah menasihat Syafie agar meninggalkan satu sifat buruk dirinya.
Akibat insiden berkenaan, ikatan pertunangan mereka akhirnya putus pada 21 Julai lalu.
Aishah ingin selesaikan kes secara baik
Spekulasi keretakan hubungan Syafie dan Aishah mula diperkatakan apabila mereka memadam foto bersama, selain sudah tidak lagi mengikuti akaun Instagram masing-masing.
Dalam pada itu, Aishah telah dirujuk ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut namun tiada kesan kecederaan kerana kejadian tersebut telah lama berlaku.
Aishah mendakwa dia lambat membuat laporan kerana ingin menyelesaikan kes mereka secara baik tetapi suspek didakwa bertindak berlebihan.
Syafie dibebaskan dengan jaminan polis
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan ketika dihubungi mStar mengesahkan Syafie Naswip, 27, ditahan pada Sabtu bagi membantu siasatan.
Pelakon itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis pada Ahad selepas diambil keterangan.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 kanun yang sama kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan melakukan ugutan.
Pasangan ini telah mengikat tali pertunangan pada 7 April lalu dan baru-baru ini Syafie telah mendedahkan pertunangan mereka sudahpun terlerai.
Sumber: mStar