Adira Fail Perceraian Terhadap Datuk Red, Mahu Yang Terbaik Buat Diri Dan Anak
Saya hanya mahu yang terbaik buat anak-anak.
Itu penjelasan penyanyi Adira Suhaimi, 28, sebaik selesai prosiding perlantikan hakam oleh mahkamah berhubung permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di sini, hari ini.
Dikerumuni wartawan sebaik keluar dari bilik perbicaraan pada jam 3.30 petang, Adira enggan mengulas lanjut berikutan masalah rumah tangganya dan suami, Datuk Seri Adnan Abu, sudah dibawa kepada pengetahuan hakim.
Sebaliknya, Adira atau nama penuhnya, Siti Adira Suhaimi, 28, meminta orang ramai mendoakan semoga segala urusannya lancar.
Maaf, saya tidak boleh membuka mulut mengenai perkara ini kerana masih dalam proses Mahkamah Syariah. Saya hanya mahukan yang terbaik buat diri dan anak-anak.
Insya-Allah, apabila tiba masanya, pasti saya akan berkongsi kepada umum mengenai status diri. Buat masa ini, doakan yang terbaik buat saya.
Gosip bertebaran beberapa bulan lalu
Adira berkahwin dengan Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, sebagai isteri kedua di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015.
Sejak beberapa bulan lalu, gosip bertebaran konon rumah tangga mereka berantakan.
Namun, baik Adira mahupun Adnan, masing-masing menafikan perkara itu dan mempertahankan rumah tangga mereka masih utuh.
Pasangan ini menimang cahaya mata sulung yang diberi nama Anggrek pada 10 Mac 2017. Anak kedua, Assan dilahirkan pada 9 September 2018, manakala anak ketiga yang dinamakan Anggun, dilahirkan pada 8 Ogos lalu.
Sumber: BH Online, Instagram Adira Suhaimi