Wanita Termakan Bunga Api Yang Disangkanya “Popping Candy”
Seorang ibu mengalami luka terbakar kimia ketika dia secara tidak sengaja memakan beberapa “bunga api mini” yang disangkanya popping candy.
Lisa Boothroyd, 48, dari Rugby, Warwickshire, mendakwa dia menjumpai kotak Fun Snaps yang berwarna-warni di antara lollipop yang dijual di Costcutter ketika dia membeli makanan ringan untuk dirinya dan juga jirannya.
Rasa terbakar berminggu-minggu
Ketika dia memasukkan beberapa biji “gula-gula” tersebut ke dalam mulutnya di rumah dan menggigitnya, dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena.
“Gula-gula” itu meletup di dalam mulutnya dan Lisa menderita buat seketika kerana ia telah menyebabkan luka terbakar kimia di bibir dan gusinya.
Saat saya makan itu sangat mengerikan, saya tidak tahu apa yang sedang berlaku.
Menurut Lisa, mulutnya rasa “terbakar” selama berminggu-minggu dan dia hampir tidak dapat makan atau tidur.
Letupan di dalam mulutnya telah menyebabkan giginya turut merekah dan dia diberi ubat penahan sakit yang kuat untuk menahan kesakitan yang dialaminya.
Sebulan kemudian, luka terbakarnya telah sembuh.
Jumpa di rak gula-gula
Lisa mendakwa dia menjumpai kotak berwarna pelangi di rak gula-gula pada 9 Disember lalu.
‘Fun Snaps’, ‘Snap! Crack! Bang!’ tertulis di atas kotak tersebut yang membuatnya menganggap itu adalah gula-gula yang akan ‘meletup’ di dalam mulut.
Fun Snaps, juga dikenali sebagai poppers adalah bunga api kecil yang dipintal dengan kertas, sama seperti Pop Pop.
Jurucakap Costcutter berkata mereka akan memberi jaminan akan mengeluarkan barang tersebut dari rak gula-gula dengan segera.
Sumber: Mirror