Mangsa Langgar Lari Rupanya Bapa Mertua Sendiri
Seorang pemandu langgar lari telah merempuh dan mencederakan seorang lelaki tua di persimpangan zebra, hanya mengetahui lelaki yang ditinggalkan terbaring dalam kesakitan itu ialah ayah mertuanya.
Tumpuan pada pemanduan suspek, Fatheha Begum Abedin terganggu kerana dia menggunakan telefon ketika melanggar mertuanya yang berusia 61 tahun di kawasan Highfields di Leicester pada Februari 2018.
Tanpa berhenti untuk menolong, suspek terus memandu.
Kejadian mengejutkan itu dirakam di CCTV berdekatan dan membawa polis membuka siasatan untuk mencari pemandu yang bertanggungjawab.
Berbohong untuk tutup kesalahan
Fatheha, 29, mula membuat siri pembohongannya yang pertama dengan harapan dia dapat menutup kesalahan yang telah dilakukannya.
Namun begitu, polis telah mengumpul lebih banyak bukti kesalahan terhadapnya.
Pada mulanya Fatheha menegaskan dia tidak menyedari kemalangan yang berlaku di St Peter’s Road pada petang Isnin, 5 Februari.
Kemudian, dia menukar pula cerita mengatakan bahawa dia mungkin terlibat dalam kemalangan tersebut tetapi mengalami sebahagian kehilangan ingatan yang disebabkan serangan asma, bermaksud dia tidak ingat akan kejadian tersebut.
Kejadian yang dirakam CCTV itu menunjukkan bapa mertuanya tercampak setelah dilanggar.
Hentakan yang kuat itu menyebabkan bonet dan cermin depannya mengalami kerosakan, manakala mangsa cedera parah dan pelvisnya patah.
Fatheha kemudian mendakwa kerosakan keretanya itu disebabkan oleh pencuri yang masuk ke dalam kereta untuk mencuri telefonnya.
Malah suspek turut cuba menyembunyikan fakta di mana dia menggunakan telefon pada saat berlakunya kemalangan tersebut dengan mengatakan dia sering menangguhkan masa membalas mesej.
Keluarga tidak tahu sehingga polis datang buat siasatan
Pihak polis dapat membuktikan suspek telah memadam 32 mesej teks dari telefonnya dan kaca depan keretanya telah diperbaiki sebelum polis berpeluang untuk memeriksanya.
Suspek yang bekerja sebagai pembantu farmasi itu mengakhiri pembohongannya dan mengakui kesalahannya.
Pada mulanya, keluarganya tidak mengetahui apa yang telah dilakukannya tetapi akhirnya penglibatannya terbongkar ketika siasatan polis diteruskan.
Suspek ditangkap dan disoal siasat 11 hari selepas nahas itu dan akhirnya terbukti pembohongannya itu.
Dia dipenjara selama 18 bulan kerana menyebabkan kecederaan serius dengan memandu secara berbahaya dan memperlengahkan proses keadilan dan juga dilarang memandu selama dua tahun.
Sumber: Daily Mail