Ibu Ikat, Bakar Tangan Anak Kerana Mencuri Gula-gula
Seorang ibu yang kejam telah ditangkap kerana mengikat tangan anak perempuannya yang berusia enam tahun, sebelum membakarnya sebagai pengajaran kerana mencuri gula-gula di sebuah kedai.
Kejadian berlaku di Alto K’ara K’ara di bandar Cochabamba, Bolivia, selepas mangsa dan adik perempuannya berusia empat tahun mencuri beberapa gula-gula dari sebuah kedai.
Anak bongsu berjaya larikan diri
Menurut laporan, ibu tersebut turut ingin membakar tangan anak bongsunya tetapi dia berjaya melarikan diri ketika melihat kakaknya menderita menerima hukuman itu.
Pemilik kedai mengadu pada ibu bapa kanak-kanak itu setelah melihat mereka mencuri gula-gula melalui rakaman CCTV.
Mangsa cedera parah dengan luka terbakar tahap dua di tangannya, namun keadaannya stabil di hospital.
Dia perlu menjalani sekurang-kurangnya empat pembedahan untuk memulihkan pergerakan di lengan dan tangannya.
Dibebaskan kerana hamil enam bulan
Ibu berusia 37 tahun itu mengatakan dia menyesal dan hanya bermaksud memberi pengajaran kepada anak-anaknya agar mereka tidak mengambil barang orang lain.
Walaupun telah ditangkap, wanita itu dibebaskan kerana hamil enam bulan dan mesti menunggu sehingga dia melahirkan sebelum menjalani perbicaraan.
Ayah tiri berusia 32 tahun turut ditangkap kerana menyaksikan penyeksaan itu namun tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan perbuatan isterinya itu.
Sumber: Daily Star