Fobia Melampau Terhadap Lipas, Lelaki Akhiri Perkahwinan Dengan Perceraian

Seorang lelaki di Bhopal, India berusaha untuk menceraikan isterinya selepas ketakutan wanita itu terhadap lipas sehingga memaksa pasangan tersebut berpindah rumah sebanyak 18 kali dalam tempoh tiga tahun perkahwinan mereka.
Portal India, OpIndia melaporkan lelaki itu yang merupakan seorang jurutera perisian, hanya mengetahui tentang fobia isterinya selepas mereka berkahwin pada tahun 2017.
Wanita itu dikatakan ternampak lipas di dapur dan menjerit meminta tolong.
Jeritannya sangat kuat sehingga menakutkan ahli keluarga yang lain.
Sejak itu, pada tahun 2018 isterinya berkeras untuk berpindah ke rumah baru.
Tuduh suami tak fahami masalah
Suami yang terkilan itu mendakwa dia telah cuba membawa isterinya untuk mendapatkan rawatan perubatan berkali-kali namun tidak berhasil kerana isterinya enggan mengambil ubat yang telah ditetapkan.
Isterinya pula menuduh suaminya tidak memahami masalahnya dan cuba mengatakan dia sakit mental dengan memberinya ubat.
Kaunseling juga tidak berjaya untuk pasangan itu dan akhirnya lelaki tersebut membuat pilihan untuk menceraikan isterinya.
Sumber: Malay Mail