China Perkenal Ujian Swab Dubur Untuk Kekang Wabak Covid-19
China kini menggunakan ujian swab dubur untuk mengekang penyebaran virus Covid-19 di ibu kotanya, Beijing, menurut stesen televisyen tempatan.
Ini berlaku susulan penyebaran wabak itu sehingga pihak berkuasa terpaksa mengetatkan kawalan di kebanyakan bandar utama.
Kini pihak kerajaan melancarkan projek ujian secara besar-besaran namun dengan sedikit kelainan.
Sebelum ini, kebanyakan ujian dilakukan dengan ujian swab di hidung dan tekak.
Ujian terkini ini melibatkan batang swab dimasukkan sekitar dua hingga tiga sentimeter ke dalam rektum dan dipusingkan beberapa kali.
Hasil sapuan dikeluarkan dan ditutup dalam bekas sampel. Prosesnya dilaporkan memakan masa sekitar 10 saat.
Virus kekal lebih lama di dubur
Li Tongzeng, seorang doktor kanan dari hospital Youan di Beijing, mengatakan kaedah sapuan dubur “dapat meningkatkan kadar pengesanan orang yang dijangkiti”.
Beliau mengatakan virus kekal lebih lama di dubur berbanding di saluran pernafasan.
Virus bertahan lebih lama dari sampel yang diambil dari saluran pencernaan dan kotoran pesakit, dibandingkan dengan yang diambil dari saluran pernafasan.
Walau bagaimanapun, keberkesanan sapuan dubur telah mendapat kritikan daripada beberapa pakar.
Seorang pakar mengatakan penyapuan hidung dan tekak tetap menjadi ujian yang lebih cekap kerana virus itu adalah penyakit pernafasan.
Sumber: Daily Star